MAC 2023

Prototaip ART Sarawak Sedang Diuji Di China


CHINA: Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) mencapai kejayaan dalam pembuatan prototaip kenderaan Transit Aliran Autonomi (ART) Sarawak yang berkuasa hidrogen di Zhuzhou, China.

Kenderaan ART itu kini sedang menjalani Latihan Pengesahan Konsep (POC) peringkat 1 di sini sehingga pertengahan bulan ini. 

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin telah hadir untuk memeriksa prototaip di kilang CRRC Zhuzhou Institute Co Ltd di Zhuzhou, China pada Isnin.

Beliau juga telah menaiki kenderaan bertenaga hidrogen tersebut untuk hampir sejam bersama-sama wakil daripada Kementerian Pengangkutan Sarawak, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Sarawak Metro Sdn Bhd.

Dalam sesi taklimat bersama eksekutif teratas CRRC Zhuzhou Institute, pembuat kenderaan ART tersebut, beliau menekankan kepentingan projek ini yang bukan sahaja untuk Sarawak tetapi juga untuk syarikat China, yang merupakan anak syarikat milik penuh CRRC Corporation Limited, pengeluar saham kereta api terbesar di dunia.

“Ini adalah projek baharu yang penting untuk kita dan CRRC Zhuzhou Institute kerana ia akan menjadi bukti untuk mempamerkan kejayaan teknologi ini di luar China.

“Saya percaya anda akan dapat memanfaatkan kejayaan Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) untuk menunjukkan kepada negara lain faedah menggunakan teknologi ini untuk bandar mereka,” katanya.

Selain itu, Dato Sri Lee juga menekankan kepentingan Projek KUTS sebagai projek perintis untuk kedua-dua Sarawak dan CRRC Zhuzhou Institute di luar China dan di dalam iklim tropika.

“Projek KUTS akan menjadi bilik pameran CRRC Zhuzhou Institute di Sarawak dan oleh itu semua pihak mesti melakukan yang terbaik untuk menjadikan ART sebagai model kejayaan bagi yang lain.

“Dan saya berharap kita boleh menjadikan Sarawak sebagai pusat CRRC Asia Tenggara untuk mempromosikan teknologi ART ini serta menyediakan kemudahan di sini pada masa hadapan”, ujar beliau. 

POC tahap dua untuk kenderaan ART ini akan melibatkan ujian di Kuching menjelang suku ketiga tahun ini.

Prototaip Kenderaan ART ini berukuran 30.2 meter panjang, 2.65 meter lebar dan 3.7 meter tinggi dan boleh mencapai kelajuan sehingga 70 kilometer sejam dengan kapasiti memuatkan 241 penumpang. 

Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak, Dato Ir. Alice Jawan Empaling, Ketua Pegawai Eksekutif Metro Sarawak, Mazli Mustaffa dan Pegawai Tadbir Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (Metro Sarawak) Awang Nasfuddin Awang Hassan.-Edisi UKAS.

Sumber dari : UKAS